free stats

Merdeka 118 Menyinar di Pentas Hollywood Menerusi Filem Thunderbolts

Mercu tanda kebanggaan negara tampil dalam babak aksi mengagumkan sambil diserikan pertunjukan cahaya eksklusif sempena tayangan perdana filem Marvel

Bangunan tertinggi di Malaysia, Merdeka 118, kini mencipta sejarah tersendiri apabila bakal membuat penampilan sulung di layar perak Hollywood menerusi filem terbaharu terbitan Marvel Studios, Thunderbolts yang akan ditayangkan pada 1 Mei 2025.

Penggambaran filem tersebut telah berlangsung pada Ogos 2024, dengan babak ikonik memaparkan watak Yelena Belova lakonan Florence Pugh yang terjun dari bangunan setinggi 678.9 meter itu. Aksi dramatik ini turut merakam panorama menakjubkan latar langit Kuala Lumpur yang pasti membangkitkan rasa bangga dalam kalangan penonton tempatan.

Kehadiran Merdeka 118 dalam naskhah Marvel ini bukan sekadar penampilan biasa. Ia turut memperlihatkan penglibatan bakat tempatan apabila beberapa adegan turut melibatkan pelakon Malaysia, Syaza Atheera, di samping kerjasama erat dengan kru produksi tempatan.

Pengarah Thunderbolts, Jake Schreier, menyatakan bahawa babak aksi berani tersebut dijayakan dengan penelitian rapi, termasuk rundingan bersama firma kejuruteraan Malaysia bagi memastikan keselamatan sewaktu penggambaran.

“Aksi terjun ini memerlukan kerjasama luar biasa. Kami memulakan dengan latihan asas sebelum menjayakan babak sepenuhnya. Florence melakukannya secara terus tanpa sebarang potongan — satu komitmen yang luar biasa,” jelas Schreier.

Sempena tayangan perdana filem ini, Merdeka 118 akan dihiasi dengan pertunjukan cahaya bertemakan Thunderbolts selama tiga malam berturut-turut, bermula 29 April hingga 1 Mei, dari jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam. Acara ini memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan transformasi mercu tanda ikonik negara sebagai penghormatan kepada pasukan adiwira paling tidak konvensional Marvel.

Filem Thunderbolts mengetengahkan sekumpulan antihero — Yelena Belova, Bucky Barnes, Red Guardian, Ghost, Taskmaster dan John Walker — yang terperangkap dalam muslihat Valentina Allegra de Fontaine. Misi berbahaya yang mereka tempuhi bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, malah memaksa mereka berdepan dengan bayang-bayang masa lampau.

Barisan pelakon hebat yang menjayakan filem ini termasuk Florence Pugh, Sebastian Stan, Wyatt Russell, Olga Kurylenko, Lewis Pullman, Geraldine Viswanathan, Chris Bauer dan Wendell Pierce, disertai David Harbour, Hannah John-Kamen serta Julia Louis-Dreyfus.

Thunderbolts diarahkan oleh Jake Schreier dan diterbitkan oleh Kevin Feige, manakala Louis D’Esposito, Brian Chapek dan Jason Tamez bertindak sebagai penerbit eksekutif. Skrip ditulis oleh Eric Pearson dan Joanna Calo berdasarkan cerita asal oleh Pearson sendiri.

Nantikan tayangan rasmi Thunderbolts di pawagam seluruh Malaysia bermula 1 Mei 2025.

Ikuti perkembangan terkini di:

About admin