Single terbaharu ‘Old Phone’ dilancarkan sebagai pembuka tirai
KUALA LUMPUR, 2 Mei 2025 – Penyanyi dan penulis lagu terkenal dunia, Ed Sheeran, telah mengumumkan bahawa album studio terbarunya yang diberi judul Play bakal menemui peminat pada 12 September 2025. Berita ini turut disertai dengan pelancaran single pertama dari album tersebut, Old Phone, yang mula dimainkan pada 1 Mei 2025 sebagai pembuka tirai kepada fasa baharu perjalanan muzik beliau. Dengar di SINI.

Selepas menutup lembaran siri album Mathematics, Sheeran kini kembali dengan semangat baharu, melangkah masuk ke era muzik yang lebih segar dan eksperimental untuk tahun 2025. Dikenali sebagai seorang artis yang sentiasa berevolusi, album Play memperlihatkan sisi Sheeran yang lebih berani, hasil kolaborasi dengan penerbit dan pemuzik dari pelbagai pelosok dunia. Beliau turut menyelami bunyi dan budaya muzik India serta Parsi—yang secara tidak langsung berkait rapat dengan tradisi muzik rakyat Ireland yang menjadi akar kepada gaya penulisan lagunya—melalui penggunaan skala muzik, ritma dan melodi yang dikongsi bersama. Eksplorasi ini telah memberikan Play nafas baharu yang unik dan global.
Namun begitu, Sheeran tidak meninggalkan sepenuhnya gaya muzik yang telah mempopularkan namanya. Album ini juga sarat dengan lagu-lagu balada dan akustik yang mengingatkan peminat kepada keindahan suara dan lirik tulus beliau, menjadikan Play sebuah karya yang seimbang antara elemen lama dan baharu. Gabungan ini memberikan impak yang mendalam dan diyakini akan menjadi antara album paling penting tahun ini.

Dalam kenyataannya, Ed Sheeran berkata, “Play ialah album yang lahir daripada saat-saat paling gelap dalam hidup saya. Keluar dari semua itu, saya hanya mahu mencipta sesuatu yang penuh warna, menyeronokkan dan meneroka budaya negara yang saya lawati ketika jelajah. Saya merakamkan album ini di serata dunia dan menyiapkannya di Goa, India dan ia merupakan antara hari-hari kreatif paling menyeronokkan dalam hidup saya. Album ini seperti roller coaster emosi dari awal hingga akhir. Ia menggambarkan segalanya yang saya cintai dalam muzik, keseronokan dalam berkarya dan juga siapa saya kini, sebagai seorang manusia, pasangan dan ayah. Masuk ke fasa baharu ini, saya hanya mahukan segala yang saya lakukan menjadi menyeronokkan dan penuh suka-suka, sebab itu kami bina pub untuk persembahan santai, buat konsert di atas bas terbuka dan menyanyi di bar dengan topi koboi merah jambu. Semakin saya meningkat usia, semakin saya mahu menghargai saat-saat yang gila dan huru-hara. Play kini boleh dipra-tempah, dan banyak lagi kejutan menanti sebelum ia dilancarkan nanti.”

Sebelum ini, Sheeran mencuri perhatian dunia dengan lagu pop hedonistik berjudul Azizam. Kini, melalui single terbaharu Old Phone, beliau menyampaikan sisi melankolik yang penuh nostalgia. Lagu ini mengisahkan tindakan membuka kembali telefon lama yang tidak digunakan sejak tahun 2015, dan penemuan semula mesej-mesej lama daripada seorang sahabat yang telah pergi, perselisihan dengan bekas kekasih, dan hubungan yang semakin renggang dengan ahli keluarga. Dengan gubahan melodi akustik yang menyentuh dan lirik yang sarat emosi, Old Phone menyentuh tema tentang masa, kehilangan dan kenangan—sekaligus mencerminkan pertumbuhan serta transformasi seorang artis dalam mengenali dirinya. Lagu ini dihasilkan oleh Blake Slatkin dan Ilya Salmanzadeh.
Album Play boleh dipra-tempah sekarang di pautan ini: https://es.lnk.to/playPR.