free stats

Filem Keluang Man Mulakan Era Baharu Superhero Tempatan

KUALA LUMPUR, 23 April 2025 – Filem aksi Keluang Man bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei 2025, menandakan pelancaran rasmi Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU) – satu langkah besar dalam memperkenalkan pengalaman sinematik adiwira tempatan.

Diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama SC, Idea River Run, Pasal Productions dan Wonda Kopi sebagai rakan strategik, Keluang Man mengangkat watak ikonik Malaysia ke layar perak dalam bentuk aksi langsung (live-action), lengkap dengan visual moden dan elemen sinematik bertaraf antarabangsa. Filem ini diarahkan oleh Anwari Ashraf dan dibintangi oleh Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Amelia Henderson, dan ramai lagi.

Pelancaran treler rasmi dan poster filem hari ini turut disertakan dengan pengumuman pelbagai kempen dan kolaborasi kreatif, termasuk:

  • Wonda Kopi Kluang edisi terhad dengan rekaan lima watak utama Keluang Man, lengkap dengan promosi barangan eksklusif seperti figura aksi, komik, payung dan rantai kunci.
  • Burger ‘Wonda-ful Keluang Man’ hasil kolaborasi dengan myBurgerLab yang diinspirasikan daripada sut Keluang Man.
  • Keluang Man WONDA Fun Run pada 18 Mei di Menara DBKL sempena program Car Free Morning anjuran DBKL.
  • Koleksi premium Royal Selangor termasuk figurin dan pin eksklusif edisi terhad.
  • Kasut edisi khas Fung Keong dan jersi eksklusif oleh Abstrax yang mengambil inspirasi daripada sut adiwira tersebut.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyifatkan filem ini bukan sekadar hiburan tetapi juga sebagai permulaan kepada dunia sinematik adiwira tempatan yang menyatukan industri kreatif dan komersial Malaysia.

Sebagai pemanas tayangan, penonton boleh menonton semula siri animasi asal Keluang Man di laman rasmi http://www.keluangman.com. Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi Astro Shaw dan Astro Gempak serta menggunakan tanda pagar #KeluangMan dan #KeluangManMovie.

About admin