KUALA LUMPUR, 30 April 2025 – Restoran ikonik Saloma Kuala Lumpur memperkukuh kembali nama Biduanita Negara Allahyarhamah Puan Sri Saloma apabila menganjurkan Majlis Jamuan Raya Aidilfitri 2025 dengan memberi penghormatan istimewa kepada waris seniwati agung negara itu.
Majlis yang berlangsung di Theatre Hall, Saloma Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi medan meraikan Syawal, malah menyaksikan simbol penghargaan terhadap legasi seni Allahyarhamah Saloma apabila gratuiti disampaikan kepada cucu-cucunya, Arzanee Armalie dan Rozaidie Armalie.


Gratuiti tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, sebagai tanda penghormatan atas jasa besar Saloma dalam memperkayakan khazanah seni dan budaya tanah air. Beliau turut diiringi Presiden Saloma Kuala Lumpur, YBhg. Datin Riza binti Dato’ Che Umar.
Majlis penuh bermakna itu turut dihadiri beberapa kenamaan termasuk Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Haji Azam Baki.



Menurut Datin Riza, majlis ini merupakan satu bentuk penghargaan terhadap legasi Saloma sebagai ikon budaya dan seni negara.
“Penyerahan gratuiti kepada pewaris legasi seni Biduanita Negara ini merupakan manifestasi keikhlasan dan penghargaan atas jasa dan bakti yang telah ditinggalkan oleh Puan Sri Saloma kepada generasi masa kini,” ujar beliau.
Tambah beliau, majlis tersebut juga sejajar dengan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) Saloma Kuala Lumpur yang sentiasa menyantuni golongan yang memerlukan, selain memperkukuh nilai kemanusiaan dalam masyarakat.


Sebelum ini, Saloma Kuala Lumpur telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan seperti Program Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan yang mengagihkan lebih 3,000 kampit beras dan pek makanan kepada golongan asnaf, serta Malam Naungan Rahmat, Limpahan Berkat yang memfokuskan kepada bantuan kepada artis veteran dan anak-anak tahfiz.
Restoran tersebut turut menjadi pilihan lokasi pelbagai acara berkaitan seni dan hiburan seperti Sidang Media Konsert 30 Tahun Ella di USA dan Konsert “Here I Am” oleh Rossa.
“Penganjuran majlis sebegini adalah antara cara kami terus mengangkat martabat seni budaya tanah air sambil memperkukuh penghargaan terhadap tokoh seni negara,” tambah Datin Riza.


Tentang Saloma Kuala Lumpur
Saloma Kuala Lumpur ialah destinasi gastronomi dan budaya berstatus pelancongan yang memperkenalkan sajian tradisional Malaysia berserta persembahan seni budaya setiap malam. Terletak bersebelahan Malaysia Tourism Centre (MaTiC), restoran ini bukan sahaja menonjolkan elemen makanan tempatan, malah menjadi wadah memperkenalkan keunikan budaya Malaysia kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Diilhamkan daripada legasi Allahyarhamah Puan Sri Saloma, restoran ini menggabungkan pengalaman makan malam dengan elemen seni persembahan secara autentik — satu usaha memperkasakan nilai seni dan tradisi warisan negara.