Hadiah istimewa Hari Buruh 2025.
Sangat lama aku tak berkunjung ke pusat peranginan tanah tinggi ini. Cuti Hari Buruh, ramai yang berpusu-pusu ke Genting Highland untuk bersantai dan bersiar membeli belah. Misi aku jelas, makan dan ke Arena Of Stars untuk Toto : Dogz Of Oz Tour 2025.

Setelah beberapa hari perancangan, sampai juga ke Arena Of Stars Resort World Genting bagi menyaksikan secara live Konsert Toto Dogz Of Oz 2025. Konsert istimewa ini merupakan salah satu dari lokasi dalam siri tour TOTO setelah mereka menjelajah Eropah, Australia dan New Zealand juga Singapura.
Lineup terkini Toto Dogz Of Oz Tour 2025. Toto dianggotai Steve Lukather (gitar/vokal), Joseph Williams (vokal), Greg Phillinganes (keyboards / vokal), Shannon Forrest (drum), John Pierce (bass), Warren Ham (horns / percussion / vokal), dan Dennis Atlas (keyboards / vokal).

Persembahan bermula sekitar 6.30 petang dengan lagu Childs Anthem oleh gitaris hebat Steve Lukather dan rakan-rakannya sebagai pembuka panggung. Kemudian disusuli dengan hit besar Toto, Rosanna yang menyaksikan audien bangun menyanyikan bersama setiap rangkap lagu. Rosanna merupakan hit mereka yang sangat familiar bagi peminat Malaysia kerana ianya sering berkumandang di radio lokal hingga sekarang. Hit dari album Toto IV 1982 ini merupakan lagu yang ditunggu-tunggu ramai.

Persembahan diteruskan dengan lagu dari album terdahulu mereka seperti “99”, Midfields, I Will Remember, Pamela. Greg Phillinganes yang merupakan sahabat lama Steve Lukather menyajikan keyboard solo yang sangat memukau lagi lincah.
Kali ini Toto menampilkan ahli baru, keyboardist muda berusia 27 tahun serba boleh Dennis Atlas. Auranya dan gaya permainannya kemas sangat energetik, memang layak untuk bersama team Toto. Dennis mempersembahkan skill solonya ala Baroque/Neo Classical dan sedikit fusion selepas I Won’t Hold You Back, Angel Do’nt Cry dan Georgy Porgy.

Mempunyai dua keyboardist hebat yang mampu menyanyi merupakan bonus kepada Toto. Selain bertindak sebagai “backing vokal”, Greg Phillinganes dan Dennis Atlas juga menyanyikan beberapa rangkap lagu-lagu Toto dengan baik.
Toto meneruskan persembahan dengan White Sister, I’ll Be Over You, Stop Loving You. Kini giliran Shannon Forrest dengan skill solo dramnya. Toto ialah band yang sering bertukar ahli sejak dari penubuhannya, dibarisi pelbagai pemain dram yg sangat hebat. Shannon Forrest antara pemain drum terbaik yang banyak menyumbang kepada rakaman karya studio dan sebagai touring drummer untuk Toto. Pengalamannya bersama artis terkemuka seperti Taylor Swift, Trisha Yearwood dan banyak lagi meletakkannya layak berada di posisi drum bagi Toto.

Persembahan diteruskan dengan lagu Don’t Chain My Heart, I’ll Supply The Love. Penonton mula bangun dan kedepan pentas apabila Hold The Line dimainkan. Sejurus intro Afrika dimainkan, Joseph William mengajak penonton bangun dan menyanyi bersama. Afrika ini sangat dekat di hati penonton yang rata-rata menyanyi dan menari setiap rangkap lagu. Sebagai lagu penutup, hit besar Afrika meninggalkan kenangan manis kepada setiap penonton. Sangat enjoy.

Produksi yang sangat baik dengan penataan cahaya, sistem bunyi dan susunan pentas mampu menghasilkan satu suasana selesa intimate antara band juga penonton.
Suasana dan “vibe” persembahan Toto ini berbeza kerana rata-rata audien yang hadir adalah yang lebih berusia yang sudah mengikuti perjalanan muzik Toto ini dan juga segelintir anak muda yang juga peminat baru yang menghargai hasil karya Toto. Persembahan Toto sangat tenang, bersahaja menyaksikan pengalaman dan profesional setiap personel sebagai pemuzik yang kebanyakan sudah melebihi usia 60an. Ada yang ditemui sudah lebih 3 kali menyaksikan konsert Toto, berpendapat Toto menyajikan persembahan dan pengalaman yang berbeza hebatnya setiap kali konsert walaupun berbeza lineup.

Agak klise jika aku katakan TOTO yang ditubuhkan pada 1977 merupakan satu band yang tinggi karisma muzikalitinya berada dikelompok teratas terhasil di era 80an dan 90an hingga kini. Namun, hakikat ini tak tak perlu disangkal kerana bagi yang menyaksikan TOTO secara live, ianya satu magis. Mereka sangat “tight” dan profesional.
Terima kasih penganjur UnUsual Entertainment kerana merealisasikan konsert yang sangat baik dan “memorable”. Two Thumbs Up.
Kredit Foto & Penganjur : UnUsual Entertainment
Artikel : @ammirhafzan